Worldwide sasar siapkan projek Puncak Bestari 2017

emrzi
0
Worldwide Holdings Bhd
Worldwide Holdings Bhd





















SHAH ALAM - Pemaju hartanah, Worldwide Holdings Bhd berhasrat menyiapkan tujuh fasa projek Puncak Bestarinya, yang berkeluasan 50.2 hektar menjelang tahun 2017.
  
Projek itu dengan nilai pembangunan kasar RM320 juta, terdiri daripada enam hektar tasik, banglo, rumah separuh berkembar, rumah ters dan hartanah komersil.
  
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Ahmad Azman Azizul Rahman berkata kumpulan mahu mewujudkan satu perbandaran baharu di Puncak Alam dan menyediakan lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat.
  
Beliau berkata fasa pertama projek yang terdiri daripada 25 unit pejabat komersil dan 136 unit unit rumah teres dua tingkat telah dijual selepas dilancarkan tahun lepas.
  
"Kami telah menerima sambutan yang menggalakkan semasa pelancaran fasa pertama. Kami yakin yang jualan untuk fasa kedua dan seterusnya akan sebaik seperti yang sebelumnya," kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan fasa kedua projek di majlis Karnival Keluarga Puncak Bestari di sini.
  
Worldwide Holdings ialah syarikat pegangan dengan portfolio empat perniagaan teras: pembangunan hartanah dan pengurusan; perkhidmatan pengurusan persekitaran; pegangan pelaburan dan pembuatan peranti perubatan.
  
Sementara itu, Ahmad Azman berkata fasa kedua projek pula terdiri daripada 23 unit pejabat komersil, 48 unit rumah separuh berkembar dan 40 unit banglo.
  
"Kesemua pejabat komersil telahpun dijual dan kira-kira 20 peratus daripada kediaman separa berkembar dan banglo telah dijual," kata beliau.
  
Pejabat komersil berharga dari RM676,699, kediaman separuh berkembar ialah dari RM685,306 dan banglo dari RM820,156.
  
Beliau berkata yang kumpulan merancang untuk melancarkan fasa ketiga projek pada awal 2014, yang terdiri daripada 280 unit rumah teres. 
  
"Tesco, peruncit ketiga terbesar dunia, juga telah bersetuju untuk membina gedung mereka di Puncak Bestari dan projek itu sedang dilaksanakan.
  
"Dengan adanya Tesco, kami yakin yang projek Puncak Bestari ini mampu menarik lebih ramai pembeli ataupun pelabur," kata beliau.
  
Perbandaran baharu Puncak Bestari boleh diakses melalui Koridor Guthrie, Lebuh raya Latar, Jalan Batu Arang, Jalan Sungai Buloh dan Jalan Meru.
  
Ia terletak 20 km dari pusat bandar Shah Alam, 13km dari Bukit Jelutong dan hanya 3km away dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Puncak Alam. - Bernama

Sumber: Sinar Harian


Tags

Post a Comment

0Comments
Post a Comment (0)